BAB 5 - GERAKAN

TOPIK 5.3 | KONSEP INERSIA

konsep inersia

Inersia adalah kecenderungan sesuatu objek untuk mengekalkan kedudukan asalnya. Kedudukan asal objek tersebut boleh jadi dalam keadaan pegun atau sedang bergerak.

Hukum Gerakan Newton Pertama (Hukum Inersia) menyatakan bahawa suatu jasad akan terus berada dalam keadaan pegun atau dalam keadaan sedang bergerak dengan halaju malar dalam satu garis lurus jika tiada daya luar bertindak ke atasnya.

  • Daya luar adalah daya paduan bukan sifar yang bertindak ke atas objek itu untuk menyebabkan perubahan kepada keadaan asal objek tersebut.

  • Daya diperlukan untuk mengubah halaju objek dalam dua keadaan iaitu:

      • untuk memulakan gerakan objek

      • untuk menyebab objek yang sedang bergerak menjadi lebih laju atau menjadi lebih perlahan atau mengubah arah gerakan.

CONTOH INERSIA OBJEK PEGUN

Duit syiling yang pegun akan terjatuh ke dalam gelas apabila kadbod ditarik dengan laju. (sumber foto)

Buku yang berada di atas akan jatuh ke bawah apabila sebuah buku di tengah-tengah ditarik dengan cepat. (sumber foto)

Keadaan penumpang bas semasa bas yang sedang berhenti, mula memecut dengan tiba-tiba. Penumpang bas akan terhumban ke belakang. (sumber foto)

Inersia menyebabkan objek menentang tindakan yang cuba mengubah kedudukan asalnya iaitu keadaan pegun.

CONTOH INERSIA OBJEK sedang bergerak

Budak yang sedang mengayuh basikal terhumban ke hadapan apabila terlanggar tebing yang tinggi. (sumber foto)



Benang akan terputus apabila sentakan dilakukan dengan menggunakan tangan. (sumber foto)




Pemandu kereta akan terhumban ke hadapan apabila brek dipijak secara mengejut. (sumber foto)

Inersia menyebabkan objek menentang tindakan yang cuba mengubah kedudukan asalnya iaitu keadaan bergerak.

HUBUNGAN ANTARA JISIM DAN INERSIA

Baldi berisi pasir dengan jisim lebih besar mempunyai inersia lebih besar yang memberikan tentangan lebih besar terhadap usaha untuk mengubah keadaan asalnya dari pegun ke keadaan bergerak atau sebaliknya.

  • Baldi berisi pasir dalam keadaan pegun sukar untuk diayun.

  • Apabila ayunan telah bermula, baldi berisi pasir juga sukar untuk diberhentikan.

Hal ini kerana, jisim yang lebih besar memiliki inersia yang lebih besar.

Inersia buka suatu kuantiti fizik tetapi satu sifat jisim yang kita boleh gunakan untuk mengukur jisim.


JISIM & INERSIA

Jom kita lihat perkaitan antara Jisim dan Inersia. Lebih tinggi jisim sesebuah objek, lebih tinggi Inersia.



KESAN INERSIA

INERSIA BOLEH MEMBERIKAN KESAN YANG BAIK DAN BURUK DALAM KEHIDUPAN HARIAN KITA

Titisan air hujan jatuh daripada payung apabila payung yang basah diputar dan diberhentikann serta merta.

Penumpang akan terhumban ke hadapan apabila bas yang sedang bergerak berhenti secara tiba-tiba. Atau penumpang akan terhumban ke belakang apabila bas bergerak ke hadapan secara tiba-tiba.


(Sumber foto)


Lori tangki minyak mempunyai inersia yang besar. Untuk mengurangkan impak inersia semasa pemanduan, maka lori tangki minyak direka khas di mana lori sebegini memiliki beberapa bahagian berasingan di dalamnya. Hal ini dapat mengurangkan impak inersia semasa lori berhenti secara tiba-tiba.


(Sumber foto)


Sos cili kadang-kadang sukar untuk dituang. Oleh itu, konsep inersia boleh diaplikasikan dengan menepuk belakang botol sos semasa menuang atau dengan menggerak-gerakan botol sos dengan cepat ke bawah dan menghentikannya secara tiba-tiba.


(Sumber foto)


Gerabak roller coaster bergerak dengan laju dan perubahan arah berlaku secara mendadak. Maka sistem keledar khas dibina untuk menetapkan kedudukan penumpang yang menaikinya.


(Sumber foto)

Pemandu dan penumpang kenderaan perlu memakai tali pinggang keledar untuk keselamatan. Hal ini dapat mengekalkan kedudukan penumpang bagi mengurangkan impak inersia apabila kenderaan yang dinaiki berhenti secara mengejut.


(Sumber foto)


VIDEO BERKAITAN inersia

Kesan Insersia

Kelebihan Inersia

LATIHAN

Sertai Saluran Telegram Pendidikan - Klik → TeachTarik EduChannel

Sebarang kesilapan sila maklumkan di sini. Terima kasih.
Rujukan:
  1. Buku Teks Sains Tingkatan 5
  2. Buku Rujukan Sains Tingkatan 5
  3. Youtube Pendidikan (Mudahnya Fizik!)
  4. Youtube (Fatini Mokhtar)